
Qutbanniyya
Syaikh Muhammad Hisham Kabbani Ar Rabbani
Ulama merupakan pewaris para anbiya. Namun demikian, ulama yang dimaksudkan disini bukanlah mereka yang memperolehi ilmu mereka daripada buku-buku. Ulama yang dimaksudkan ialah mereka yang bergelar aqtab. Bagi golongan ini, Allah telah membuka enam kunci kuasa di dalam hati mereka, dan juga memberitahu mereka tujuh nama peribadi yang ada untuk mereka.
Lima peringkat Qutub:
• Qutub
• Qutub al-Bilad
• Qutub al-Mutassarif
• Qutub al-Irshad, dan
• Qutub al-Aqtab
Qutub merupakan seorang yang telah dianugerahkan oleh Allah satu kuasa yang boleh mengeluarkan daripada zat Muhamamd ilmu-ilmu kerohanian dari alam kerohanian dan ghaib ke dunia. Beliau dapat memperolehi dan mengeluarkan ilmu dan rahsia dari hati Rasulullah (saw). Ini merupakan tahap pertama seorang qutub.
Qutub al-Bilad bertanggungjawab ke atas susunan dan kestabilan di dalam dunia ini. Beliau tahu tentang keperluan-keperluan setiap bangsa dan segala kumpulan makhluk di bumi ini.
Qutub al-Irshad menjadi penasihat kepada 124,000 para awliya.
Qutub al-Mutassarif diberi otoriti untuk mengarah para malaikat kepada setiap manusia dan makhluk, dan juga bertanggungjawab ke atas makhluk-makhluk yang kecil seperti cacing-cacing yang tinggal di celah-celah batu. Semua kuasa ini datangnya dari Sayyidina Muhammad (saw).
Qutub al-Aqtab menyelia dan bertanggungjawab ke atas aqtab-aqtab yang lain.
Ghauth
Di atas kelima-lima aqtab ialah ghauth. Kedudukan beliau ialah di antara “Tiang Kepada Tiang” dengan Rasulullah (saw). Ghauth diibaratkan sebagai paip atau saluran. Sayid Bahauddin Naqshband ialah salah seorang daripada qhauth dan begitu juga Sayid Abdul Qadir al-Jilani. Ghauth berubah dari abad ke abad. Sumber kuasa aqtab dan ghauth adalah secara terus menerus dari hati Rasulullah (saw). Antara ciri-ciri, tugas-tugas dan kuasa-kuasa yang ada pada diri mereka adalah seperti berikut: • mereka ada pengetahuan berkenaan kejadian yang berlaku di dalam bumi yang melibatkan angin, gempa bumi dan hujan. Kedua-dua ibu-bapa mereka mesti ada ashraf daripada keturunan Ahl al-Bayt, iaitu daripada Hassani dan Husayni. Sekiranya mereka tidak datang daripada keturunan Rasullullah (saw) dan mereka dapat sampai ke tahap maqam yang tinggi ini, bererti mereka mewarisinya daripada Salman al-Farsi. Rasulullah telah menerima Salman sebagai salah seorang ahli keluarga baginda (saw), walaupun Salman berasal dari Farsi. Untuk menunjukkan bahawa Salman adalah ahli keluarga, baginda (saw) pernah berkata kepada isterinya supaya tidak perlu menutup awrah apabila Salman berada di dalam rumah mereka. Setiap angkara yang berlaku di dalam alam semesta ini adalah di dalam tangan aqtab-aqtab dan ghauth - daripada Allah kepada Rasulullah (saw), dan daripada Rasulullah (saw) kepada aqtab dan ghauth - Wa yahmiloon ‘arsh ar-rahmanu yaumaidhin thamaaneeya.
Allah telah mencipta lapan malaikat untuk mengangkat TahteraNya. Tidak ada bahasa untuk menerangkan bagaimana hebatnya ciptaan lapan malaikat ini. Mereka gembira diberi tugas mengangkat Tahtera tersebut, tidak ada perasaan bongkak dan megah. Namun begitu terdapat satu perasaan di kalangan mereka bahawa merekalah malaikat yang mempunyai darjat yang paling tinggi. Allah mahu menunjukkan kepada mereka bahawa sebenarnya mereka tidak mempunyai sebarang kuasa. Allah melenyapkan segala kekuatan dan kuasa yang ada pada diri mereka, hatta hilanglah kekuatan mereka. Kuasa mereka telah dipindahkan kepada enam para awliya (5 qutub dan seorang ghauth). Allah berfirman, “Aku akan mencipta seorang khalifa di bumi.” Para malaikat bertanya, “Adakah Engkau hendak mencipta mereka yang akan membuat fitnah di atas bumi dan melempahkan darah…?”
Allah tunjukkan kepada mereka bahawa kumpulan manusia ini adalah daripada golongan yang terpuji. Malah, aqtab-aqtab dan ghauth inilah yang membantu para malaikat. Sekiranya terdapat di antara mereka bukannya daripada tariqat Naqshbandi, Allah memberi izin kepada Rasulullah (saw), dan Rasulullah (saw) memberi izin kepada sheikh mereka untuk membawa ajaran tariqat Naqshbandi selain daripada ajaran-ajaran tariqat yang sedang mereka ikuti. Oleh yang demikian, awliya tersebut membawa kuasa daripada tujuh tariqat. Oleh kerana terdapat lima qutub pada setiap masa, apabila seorang daripada mereka meninggal dunia, dia akan diganti.
Golongan para awliya ini memanglah unik. Salah satu realiti kewujudan mereka adalah untuk mengambil ilmu daripada setiap nama Allah. Akibatnya, mereka sentiasa berada dalam keadaan ekstasi. Daripada setiap nama Allah yang Maha Suci, mereka menikmati 700,000 bentuk ekstasi, dan daripada keadaan tersebut mereka boleh memberi kepada manusia 700,00 bentuk hikmah. Setelah mereka menyelami Lautan hikmah dan ilmu ini, Allah akan menanggalkan tirai/hijab dan membuat mereka kasyaf. Dengan keadaan kasyaf mereka akan sampai ke Kehadiran Ilahi, di satu tempat di mana mereka akan menyaksi haqiqat ayat yang berbunyi, “Allahu nuru samawati wal ard” (Allah ialah Cayaha di langit dan di bumi). Semenjak pada waktu itu, apa yang mereka lihat hanyalah cayaha itu.